top of page
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menggraduatkan lebih daripada 71000 orang graduan sejak tahun 1999. Jumlah pelajar yang bergraduat ini secara automatik menjadi ahli alumni UPSI. Sehingga kini, usaha-usaha mempertemukan ahli-ahli alumni kian giat dilaksanakan, khususnya melalui program Sirih Pulang ke Gagang (SPKG) yang bertujuan mengumpulkan dan meraikan alumni SITC, MPSI, IPSI dan UPSI.
 
Program Sirih Pulang ke Gagang (SPKG) yang diadakan pada tahun 2002, 2011, 2012, 2014 telah berjaya mempertemukan ahli-ahli alumni. Hasil daripada program itu, sebaran maklumat tentang UPSI telah dengan cepat sampai ke rantau nusantara khususnya Singapura, Brunei, Indonesia dan Thailand. Walau bagaimanapun, program itu masih belum dapat mencetuskan momentum kesedaran ahli untuk menyumbang bakti, buah fikiran dan sumbangan kepada alma maternya. Kesedaran ini adalah keperluan penting bagi mendekatkan rasa cinta warga alumni kepada UPSI di samping mewujudkan hubungan akrab di antara dua pihak.
 
Menimbang akan keperluan dan kebaikan institusi ini pada masa hadapan, Pusat Alumni akan melaksanakan program SPKG Siri Kelima dan Sambutan 95 tahun Ibu Kandung Suluh Budiman dengan tema ‘Ibu Kandung Menggamit Rindu’ bagi merealisasikan hasrat meningkatkan kesedaran dan rasa cinta ahli alumni kepada universiti ini.
OBJEKTIF
​
  • Menghimpunkan ahli alumni dalam satu pertemuan berkonsepkan kekeluargaan
  • Mengadakan aktiviti yang meningkatkan kesedaran dan kecintaan ahli kepada UPSI
  • Menyemai semangat cintakan UPSI sempena Sambutan 95 Tahun Ibu Kandung Suluh Budiman
  • Menghargai alumni SITC-UPSI yang telah banyak berjasa dan berbakti kepada universiti dan Negara
  • Menggalakkan ahli alumni menyumbang kembali kepada universiti melalui aktiviti yang memberi manfaat kepada UPSI
​
bottom of page